Friday, July 18, 2008

Pendidikan Pintar Cerdas

PENDIDIKAN PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT DI MALAYSIA:
Satu Tinjauan

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu bangunkan sumber intelek kanak-kanak berbakat yang dikategorikan sebagai "outstandingly high in intellectual, creative or social ability," yang merupakan aset supaya mereka menjadi modal insan yang produktif serta berupaya menyahut cabaran masa depan negara untuk bersaing di arena antarabangsa.
Menggesa demikian, isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata kebanyakan negara barat seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Rusia dan juga negara di rantau ini seperti China, Singapura, Thailand dan Indonesia mempunyai program pendidikan khas untuk murid-murid yang menunjukkan kebolehan luar biasa.
"Saya berpendapat Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam aspek ini, dari itu satu usaha yang bersepadu wajar dilaksanakan untuk membangunkan sumber intelek kanak-kanak ini secara optimum," katanya pada majlis jamuan Perjumpaan Dengan Kanak-Kanak Pintar, Cerdas dan Berbakat di Sri Satria di sini hari Khamis. Dalam konteks ini, Rosmah berkata beliau bersama beberapa pensyarah universiti, ahli psikologi kanak-kanak dan juga pegawai-pegawai dari Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian tinggi akan mengemukakan satu kertas cadangan kepada pihak kerajaan mengenai kanak-kanak berbakat ini.
"Adalah tidak mustahil di suatu hari nanti ada di antara kanak-kanak ini yang akan dianugerahkan sebagai Nobel Prize Laureate, ahli saintis terkenal seperti Albert Einstein atau pemuzik handalan seperti Mozart," katanya.
-- BERNAMA

1. Pengenalan

Sebagai sebuah negara, Malaysia perlu membangunkan sumber tenaga manusia sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kemajuannya. Setiap masyarakat sentiasa mengharap untuk menambah bilangan individu yang mampu menyumbang terhadap kesejahteraan dan kemajuan masyarakat tersebut. Seterusnya menurut Renzulli (2000) setiap individu yang dikenalpasti berpotensi tinggi atau berbakat wajar diberi peluang untuk memaksimakan perkembangan kognitif dan perkembangan kendirinya sehingga dia cemerlang dan pintar cerdas dalam bidang-bidang atau domain bakat tersebut. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, negara akan mengalami kerugian akibat pengabaian sumber semula jadi yang bernilai. Apabila seseorang individu berbakat gagal mencapai ketahap potensinya yang sebenar, ia merupakan satu tragedi kepada masyarakat dan kemanusiaan sejagat. Amat sukar untuk menilai kerugian dari tragedi tersebut namun pastinya ia satu kerugian yang besar (Zalizan 1992; Gallagher & Gallagher 1994). Fenomena tidak mencapai tahap (TMT) atau underachievement ini mendukacitakan semua pihak yang terbabit. Sesungguhnya tidak ada yang lebih mengecewakan ibu bapa dan pendidik selain daripada menyaksikan bakat dan kecerdasan pelajar terabai dan seolah-olah dibaziri (Baum, Renzulli & Herbert 1999).

Institusi pendidikan adalah antara sektor yang bertanggungjawab untuk mendidik semua individu sehingga mereka mampu menyumbang semula kepada negara dalam bidang kepakaran masing-masing. Institusi pendidikan juga berperanan memastikan agar tragedi individu berbakat gagal mencapai ketahap potensinya yang sebenar yang disebut sebelum ini tidak berlaku (Gallagher & Gallagher 1994; Piirto 1999). Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah institusi pendidikan di Malaysia menekankan pendidikan yang khusus untuk individu yang berbakat serta berpotensi tinggi. Sesungguhnya, institusi pendidikan dipertanggungjawabkan untuk memperkembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia 1998). Tanpa program pendidikan yang dirancang khas untuk pelajar-pelajar pintar cerdas dan berbakat (PCB) di sekolah-sekolah, pelajar-pelajar tersebut terutamanya dari golongan yang kurang berada tidak berpeluang mendapat sokongan, bantuan serta adaptasi pendidikan yang diperlukan untuk perkembangan mereka secara optimum.

Sejak dari zaman Plato lagi, falsafah tentang sebuah masyarakat yang ideal ialah sebuah masyarakat di mana setiap ahlinya memberikan khidmat kepada masyarakatnya berdasarkan kemampuan atau potensi yang ada pada diri masing-masing. Plato juga berpendapat bahawa setiap individu mempunyai keupayaan atau potensi tertentu. Sternberg (1991) menyarankan bahawa golongan PCB adalah antara sumber semula jadi utama sesebuah negara di samping sumber-sumber semula jadi yang lain. Malaysia, seperti juga negara-negara lain di dunia, mempunyai aset individu atau rakyat yang boleh dikategorikan sebagai PCB. Sumber modal insan ini perlu diberi perhatian dengan sebaik-baiknya dalam usaha untuk membina tamadun negara. Namun setakat ini kepentingan pendidikan untuk golongan PCB jarang diperkatakan dalam masyarakat di Malaysia.

Feldhusen (dlm. Milgram 2000) menyatakan bahawa sehingga kehari ini perubahan yang besar telah berlaku dalam bidang pendidikan untuk pelajar pintar cerdas dan berbakat. Cabaran kepada pendidik dalam bidang pintar cerdas dan berbakat bukan lagi untuk menentukan siapakah pelajar PCB berlandaskan ukuran darjah kecerdasan atau IQ. Sebaliknya pendidik PCB dilihat berperanan untuk mengenalpasti potensi serta bakat-bakat atau abilities and talents tertentu yang ada pada diri setiap pelajar. Bakat-bakat tersebut terdapat dalam pelbagai domain yang bermanfaat dan bernilai kepada masyarakat. Domain atau bidang-bidang tersebut ialah; akademik, seni, muzik, matematik, kepemimpinan, sukan, drama, penulisan kreatif, literasi komputer, dan penguasaan berbahasa (Milgram 2000).

2. Rasional Melaksanakan Program Pendidikan Pintar Cerdas dan Berbakat

Program pendidikan pintar cerdas dan berbakat telah mendapat perhatian khusus di negara-negara maju yang pesat membangun dalam bidang sains dan industri. Negara-negara yang dimaksudkan antaranya ialah Amerika Syarikat, Jerman, Australia, New Zealand, Singapura, China, Rusia dan Kanada (Schwizer 1994; Gallagher & Gallagher 1994; United States Department of Education 1999; Ministry of Education Singapore 2002; Mariychuk 2002). Hak untuk mendapat pendidikan yang sesuai dengan ciri-ciri unik pelajar pintar cerdas dan berbakat di Amerika Syarikat telah diwartakan sebagai perundangan pada tahun 1988 serta diberikan peruntukan kewangan (Gallagher & Gallagher 1994; Piirto 1999; Clarck 2002). Pada waktu yang sama kita melihat ramai dikalangan saintis Amerika Syarikat telah berjaya membuat penemuan-penemuan baru dalam bidang sains sehingga melayakkan mereka memenangi hadiah Nobel. Sejak 100 tahun yang lalu lebih ramai pemenang hadiah Nobel terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Hungary berbanding dengan negara-negara lain di dunia (Hargittai 2002). Kesedaran tentang keperluan untuk memupuk bakat dalam bidang sains dan matematik yang merupakan bidang-bidang akademik telah lama wujud di negara-negara tersebut (The Senate Select Committee 1988; Hargittai 2002; Wagner 2002).

Malaysia, seperti negara-negara lain, mempunyai ramai individu yang berpotensi dan berbakat dalam pelbagai bidang. Kecemerlangan akademik di peringkat sekolah merupakan petunjuk awal bahawa seseorang itu berbakat dan berpotensi dalam subjek-subjek akademik termasuk sains dan matematik. Sosniak 1985 dalam Piirto (1999) mendapati para saintis dahulunya adalah pelajar-pelajar yang cemerlang dalam semua mata pelajaran, yakni mereka dahulu merupakan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik. Sekiranya Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam arena persaingan penguasaan ilmu, satu usaha yang bersepadu wajar di laksanakan di Malaysia untuk membangunkan sumber inteleknya secara optimum. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2001 mengaku “…perlu meneliti semula semua program yang telah dilaksanakan bagi dibuat penyegaran, pembaharuan, pengukuhan, kajian, orientasi, penyusunan semula dan penggubalan semula bagi membangunkan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan, dan bertaraf dunia….”. Kertas konsep ini bertujuan untuk melihat kepada keperluan pembelajaran pelajar-pelajar yang berpotensi menjadi pakar, ahli profesional, dan cendikiawan negara pada masa akan datang. Ini termasuk para pelajar yang berpotensi tinggi dalam bidang akademik, dan juga dalam bidang-bidang domain bakat yang lain seperti muzik, drama, kepimpinan, dan yang berkaitan dengan ruang atau spatial abilities.

Sekiranya Malaysia berhasrat melahirkan saintis yang terkemuka di peringkat kebangsaan dan antara bangsa, ia wajar memberi perhatian terhadap usaha untuk memupuk bakat sains dan matematik dikalangan pelajar sejak awal lagi. Bakat sains dan matematik adalah sebahagian daripada bakat akademik. Sehubungan itu, Malaysia juga memerlukan ahli-ahli akademik yang cemerlang. Saintis dan ahli-ahli akademik bertanggungjawab untuk memperkayakan ilmu pengetahuan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Sumbangan mereka kepada masyarakat dan kemanusiaan ialah berupa ilmu yang berguna hasil daripada aktiviti penyelidikan yang mereka lakukan. Pelajar-pelajar yang berbakat dalam akademik perlu dikenalpasti sejak dari awal lagi. Seterusnya para pelajar terbabit perlu diberi pendidikan yang sesuai dengan ciri unik mereka. Usaha ini perlu untuk memastikan perkembangan potensi mereka ke tahap yang optimum. Usaha ini bermanfaat kepada pelajar terbabit, keluarganya, negara, dan kemanusiaan sejagat. Dalam pada itu, pelajar pintar cerdas berhak untuk memilih laluan pendidikan mereka sendiri dan tidak semestinya mengikut laluan pendidikan yang dicadangkan untuk mereka. Namun pilihan-pilihan dan laluan pendidikan perlu diberikan kepada mereka.

Pelajar-pelajar PCB juga terdapat dikalangan pelajar-pelajar khas yang mempunyai pelbagai kategori keistimewaan (Gallagher & Gallagher 1994). Ini merujuk kepada golongan yang mempunyai keistimewaan yang pelbagai, atau multiple exceptionalities. Pelajar-pelajar PCB terdapat dikalangan pelajar dalam kategori-kategori keistimewaan berikut; bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran, bermasalah fizikal, bermasalah pembelajaran, bermasalah emosi serta tingkah laku, dan juga dikalangan pelajar pemulihan dan disleksia. Pendidikan untuk golongan pintar cerdas menuntut agar para guru memahami hakikat kewujudan pelajar-pelajar PCB dalam semua kategori tersebut. Para guru perlu merancang dan menangani pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar PCB dari golongan khas dengan berkesan. Ini penting untuk memastikan perkembangan bakat mereka tidak terbantut disebabkan oleh ciri-ciri keistimewaan yang sering dikaitkan dengan masalah.

Malaysia seperti negara-negara lain yang telah mendahului kita dalam bidang ini sewajarnya memberi perhatian khas untuk membangunkan modal insan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang berbakat dan pintar cerdas dalam pelbagai domain. Sumber tenaga manusia yang sedemikian penting dalam pembinaan khazanah ilmu serta kepakaran bagi menjamin kelestarian tamadun sesuatu bangsa. Justeru mereka perlu dikenal pasti untuk diberi pendidikan yang sesuai dengan ciri-ciri unik mereka (Berger 1991; Rotigel & Lupkowski-Shoplik 1999; Frieman 2001). Ini penting untuk memastikan agar mereka berjaya mengembangkan bakat mereka secara optimum. Ahli-ahli teori dalam bidang pintar cerdas dan berbakat menyarankan agar kaedah identifikasi disandarkan pada suatu teori tertentu (Piirto 1999). Sehingga kini pelbagai kaedah digunakan untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas dan berbakat dalam akademik. Antaranya berdasarkan; ujian kecekapan, senarai semak tingkah laku, perbandingan dengan norma setempat, dan ujian setara (Piirto 1999; Renzulli 2002).

3. Definisi Istilah

Berikut adalah ringkasan definisi beberapa istilah penting yang digunakan dalam kertas konsep ini;

a) Berbakat: Gifted ia itu keadaan seseorang yang mempunyai potensi untuk menjadi cemerlang dalam bidang-bidang tertentu sama ada dalam bidang akademik atau bukan akademik. Seseorang itu di anggap berbakat dalam bidang-bidang tertentu apabila dia menampakkan potensinya dalam bidang tersebut. Kadang-kadang pencapaiannya dalam bidang itu belum terbukti cemerlang.

b) Pintar cerdas: Talented ialah keadaan seseorang yang berbakat berjaya menempa kecemerlangan dalam domain-domain bakatnya pada peringkat-peringkat tertentu (Gagne 1998; Piirto 1999). Pintar cerdas berpunca dari suatu sifat semulajadi atau aptitud yang ada pada diri seseorang (Piirto 1999). Individu pintar cerdas ialah individu yang berbakat. Seseorang yang berbakat belum pasti akan menjadi seorang yang pintar cerdas. Banyak faktor yang perlu berperanan sebagai pemangkin mempengaruhi secara positif laluan seseorang itu daripada berbakat menjadi pintar cerdas (Gagne 1998; Piirto 1999). Antara faktor-faktor tersebut ialah faktor dalaman atau intra personal bagi individu terbabit, seperti emosi yang sejahtera dan konsep kendiri yang positif. Selain itu terdapat faktor persekitaran yang turut berperanan sebagai pemangkin. Ini merujuk kepada aspek-aspek sokongan di rumah dan di sekolah. Seseorang yang dianggap pintar cerdas dalam sesuatu bidang tertentu ialah seorang yang berbakat dan juga cemerlang dalam bidang tersebut.

c) Tingkah laku pintar cerdas: merujuk kepada perbuatan-perbuatan seseorang yang menggambarkan potensinya yang tinggi dalam sesuatu bidang tertentu. Perbuatan ini dapat diperhatikan dan dinilai oleh guru sebagai manifestasi daripada trait pintar cerdas (Renzulli 1978). Tingkah laku pintar cerdas juga boleh diajar kepada pelajar. Pelajar-pelajar tersebut tidak semestinya memperolehi pencapaian yang tinggi dalam ujian-ujian kognitif (Renzulli 1991; Piirto 1999), namun sebaliknya menunjukkan kemampuan mereka dalam domain bakat tertentu.

d) Tidak mencapai tahap (TMT): Underachievement ia itu fenomena seseorang yang
gagal mencapai kecemerlangan setanding dengan bakat atau potensinya (Dewan
Bahasa dan Pustaka 1997). Ia juga didefinisikan sebagai keadaan dimana wujudnya jurang diantara pencapaian sebenar yang rendah dengan keupayaan yang nampaknya lebih tinggi (Rimm 1997).


4. Definisi pintar cerdas dan berbakat dalam konteks pendidikan di Malaysia

Di dalam sistem pendidikan di Malaysia, murid pintar cerdas dan berbakat didefinisikan sebagai murid yang mempunyai keupayaan berprestasi cemerlang disebabkan kebolehan mereka yang tinggi berbanding dengan murid yang seumur dengannya. Mereka juga lulus penilaian tahap kecerdasan / keupayaan yang ditetapkan oleh KPM dan mereka memerlukan pendekatan khusus dalam pendidikan.

Justeru pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan seorang pelajar yang terbukti cemerlang atau seorang yang berpotensi dalam bidang akademik atau dalam bidang-bidang lain seperti muzik, bahasa, kepimpinan dan lain-lain.


5. Ciri-ciri Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat

Bee (1997) mengkategorikan perkembangan pelajar-pelajar pintar cerdas dan berbakat (PCB) sebagai perkembangan yang berbeza daripada biasa. Pelajar-pelajar PCB mempamerkan ciri-ciri khas dalam aspek-aspek pemerosesan kognitif, personaliti dan tingkah laku (Mills 1993; Bee 1997; Kyle 1998; Piirto 1999; Renzulli 2000). Perbezaan tersebut perlu kepada pendekatan pendidikan yang bersesuaian (Gallagher & Gallagher 1994).

6.1 Ciri-ciri Kognitif

Dalam aspek pemerosesan kognitif, pelajar-pelajar PCB biasanya apabila diuji dengan ujian-ujian psikometrik akan mendapat skor Darjah Kecerdasan (DK) atau Intelligent Quotion (IQ) yang tinggi biasanya melebihi 130 (Kyle 1998). Potensi kognitif dalam bentuk potensi akademik dapat dilihat daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang. Selain itu ciri-ciri kognitif pelajar PCB merangkumi keupayaan untuk menaakul ide-ide yang abstrak, cepat memahami unsur-unsur utama dalam sesuatu isu, sangat empati, ingatan yang kuat, dan berkecenderungan untuk menjadi terlalu asyik dalam sesuatu topik yang diminati. Robinson (2002) pula merumuskan ciri-ciri pelajar PCB seperti berikut; mempunyai ingatan serta penaakulan yang luar biasa, sangat suka kepada perkara-perkara intelektual berserta sifat ingin tahu yang menebal, mempunyai strategi yang berbeza ketika menyelesaikan sesuatu masalah, gemar mengajukan soalan-soalan yang susah, dan memberikan pendapat yang ganjil hasil dari pemikiran yang mencapah.

6.2 Ciri-ciri Personaliti

Piirto (1999) merumuskan 17 ciri personaliti pelajar-pelajar pintar cerdas dan berbakat. Ciri-ciri personaliti tersebut ialah: kreatif; berimaginasi; mempunyai pandangan yang mendalam; intuitif; keterbukaan; keamatan dalam tingkah laku; amat menyukai kerjanya; perseptif; mendesak; berani mengambil risiko; berdisiplin kendiri; mempunyai kecekapan kendiri; cara berfikir mirip kedua-dua gender; tabah berusaha; amat mementingkan kesempurnaan; toleransi terhadap sesuatu yang tidak pasti; dan mempunyai kemahuan yang kuat. Ada di antara ciri-ciri tersebut dikaitkan dengan aspek sosio emosi relajar terbabit. Ringkasnya pelajar-pelajar pintar cerdas dan berbakat mempamerkan personaliti yang unik dan berbeza. Perbezaan ini perlu ditangani dengan bijaksana dan tidak disalah tafsir oleh ibu bapa dan guru-guru.

6.3 Ciri-ciri Tingkah Laku
Renzulli (1978) menyatakan bahawa pelajar-pelajar PCB dan PCA menunjukkan tingkah laku pintar cerdas (PC) pada situasi-situasi tertentu. Beliau mencadangkan tiga trait utama yang bergabung menjadikan seseorang pelajar itu dikategorikan sebagai pintar cerdas. Trait-trait tersebut ialah kecerdasan atau potensi kognitif yang luar biasa, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan komitmen yang tinggi dalam melakukan sesuatu tugas. Trait kecerdasan seperti yang telah dihuraikan merupakan ciri-ciri kognitif. Kreativiti pula seperti huraian Piirto (1999) merupakan ciri-ciri personaliti. Komitmen dalam melaksanakan sesuatu perkara pula merupakan sebahagian daripada trait tingkah laku pintar cerdas.

Tingkah laku PC boleh diukur dalam aspek atau domain berikut: Pembelajaran, Kepimpinan, Komunikasi, Perancangan, Motivasi, Kreativiti, Dramatik, Muzikal, dan Seni. Aspek-aspek tersebut terdapat dalam Skala Pemarkatan Tingkah Laku, Scale for Rating the Behavioral Charactersitics of Superior Students (SRBCSS) (Renzulli et al. 2002). Penilaian terhadap tingkah laku PC boleh dibuat dengan menggunakan skala pemarkatan tingkah laku oleh guru-guru yang mengajar pelajar-pelajar berkenaan. Guru-guru yang mengajar pelajar pintar cerdas mengenali kekuatan yang ada pada pelajar-pelajar tersebut. Justeru mereka boleh membuat pemarkatan untuk menilai tingkah laku pintar cerdas dan tahap kekuatan tingkah laku tersebut dalam aspek-aspek yang terdapat dalam SRBCSS (Renzulli et al. 2002).

8. Proses identifikasi pelajar PCB

Setelah difahami definisi pintar cerdas dan berbakat dan setelah memahami ciri-ciri pelajar PCB, pendidik boleh mengenalpasti pelajar-pelajar PCB untuk disediakan pendidikan yang sesuai dengan keperluan unik mereka. Terdapat dua tahap didalam proses identifikasi siapakah pelajar yang perlu kepada pendidikan khas pintar cerdas.
a. Tahap pertama: Proses mendapatkan maklum balas dari semua pihak dalam bentuk pencalonan pelajar PCB.
Pencalonan boleh dibuat oleh; ibu bapa, guru, rakan-rakan, dan diri pelajar itu
sendiri. Pencalonan boleh dibuat dengan menggunakan senarai semak (check-list)
dan skala pemarkatan (rating scales)

b. Tahap kedua: Proses mengenalpasti bidang-bidang atau domain kecerdasan serta
tahap kecekapan pelajar terbabit dalam bidang tersebut. Pada tahap ini pelajar
yang dicalonkan akan ditaksir oleh pakar untuk menentukan kemampuan pelajar
dalam bidang/domain berkenaan pada ketika itu.
Alat-alat penaksiran termasuklah ujian kecerdasan (IQ), ujian kompetensi, ujian
bagi menentukan domain kecerdasan dengan menggunakan ujian kecerdasan
pelbagai (Multiple Intelligence-MI). Selain itu, pada tahap ini penilaian pakar juga boleh/perlu diambil kira bagi menentukan domain serta tahap kecerdasan seorang pelajar. Contohnya penilaian seorang pelukis untuk menentukan domain bakat dan tahap kecerdasan seorang pelajar yang berbakat dalam lukisan.

- Anda di pelawa memberikan pendapat anda - Terima kasih - Rosadah